suria

OPS Gasak 11: 29 Pendatang Tanpa Izin Ditahan Di Premis Ternak Ikan

Ops Gasak diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

LAHAD DATU:  Dua puluh sembilan pekerja, termasuk lapan wanita yang dipercayai pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Gasak 11yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di dua pusat penternakan ikan dalam sangkar dekat sini pada Isnin malam.

Pengarah Operasi Esscom Datuk Abdul Rashid Harun berkata kesemua mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Dalam operasi yang bermula 3.30 petang itu, seramai 55 orang pekerja di dua premis ternak ikan dalam sangkar diperiksa dan 29 orang daripada mereka tidak mempunyai sebarang dokumen," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, Ops Gasak 11 dilancarkan susulan insiden penculikan yang membabitkan seorang pengurus ternakan ikan dalam sangkar warga Cina di Pulau Baik dekat pada 6 Mei lepas.

Ia membabitkan pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara, katanya.

Sabtu lepas, 35 pekerja warga Filipina termasuk 16 wanita ditahan kerana tidak memiliki dokumen sah dalam Ops Gasak 10 di lima pusat menternak ikan dalam sangkar di sekitar perairan Lahad Datu.

Ops Gasak 11, Esscom

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain