KOTA BAHARU: Gara-gara mengugut mahu mencederakan ibu dengan pahat, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini. Majistret Mohd Isa Mohamad memerintahkan Mohamad Syazwan Firdaus Zainuddin, 20, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditahan, 17 Mei lalu selepas dia mengaku bersalah. Tertuduh didakwa mengancam hendak mendatangkan kecederaan terhadap Che Jah Idris, 51, dengan mata pahat di sebuah rumah di Jalan Tok Semian di sini pada 10.30 pagi, 17 Mei lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Md Zukri manakala tertuduh diwakili peguam Faraazlina Zahari.