suria

Panda Gergasi China Berlepas Ke Malayisa Malam Ini

CHENGDU, China: Pasangan beruang panda gergasi yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama, Fuwa (jantan) dan Fengyi (betina) akan berlepas ke Malaysia malam ini untuk pinjaman selama 10 tahun dan memulakan kehidupan baharu di perantauan.

Upacara selamat jalan kepada pasangan "selebriti" hitam-putih berusia lapan tahun itu berlangsung di pangkalan Dujiangyan, Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Beruang Panda Gergasi China di provinsi Sichuan di barat daya China pada Selasa.
 
"Ini merupakan acara penting bagi meningkatkan hubungan dua hala dan setiakawan antara Malaysia dan China," kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia Datuk Dr James Dawos Mamit.
 
"Bagi Malaysia, ketibaan beruang panda gergasi ini merupakan peristiwa penting untuk meraikan kerjasama dua hala erat yang dijalin hampir 40 tahun antara kedua-dua negara," katanya kepada pemberita Malaysia sebelum menyampaikan ucapan pada majlis untuk mengucapkan selamat jalan kepada pasangan beruang panda itu.

Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan China sejak 1974, dimulakan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, perdana menteri kedua Malaysia.
 
"Kami patut meneruskan hubungan dua hala akrab ini untuk 40 tahun akan datang," kata Dawos dan menurutnya ia bukan hanya bertumpu pada hubungan kerajaan dengan kerajaan tetapi juga antara rakyat dengan rakyat kedua-dua negara.

Beliau berkata rakyat Malaysia pasti teruja dengan ketibaan pasangan beruang panda itu dan pastinya tidak sabar untuk menyambut kedatangan khazanah 'comel' dari China itu.
 
"Mereka sudah banyak mendengar tentangnya (berita ketibaan)...jadi sekarang mereka boleh melihat sendiri beruang panda gergasi di Zoo Negara selepas sebulan pasangan itu dikuarantin," katanya.

Beruang panda berkenaan akan diterbangkan dari China oleh MASkargo Sdn Bhd (MASkargo) dan dijangka tiba di Malaysia pada 6 pagi Rabu. Pasangan itu akan ditempatkan di Kompleks Panda Gergasi di Zoo Negara.

Dawos berkata Pengarah Zoo Negara Dr Naim Ramli, yang juga seorang doktor haiwan, seorang doktor haiwan China dan 10 pegawai teknikal akan mengiringi Fengyi dan Fuwa dalam perjalanan mereka ke Malaysia.

Dalam ucapannya, beliau memberikan jaminan tentang komitmen Malaysia untuk mematuhi semua syarat bagi memastikan kesejahteraan Fengyi dan Fuwa selama 10 tahun berada di Malaysia.
 
"Kami berjanji kepada anda bahawa pasangan beruang panda ini akan hidup dengan gembira di Malaysia, sama seperti kehidupan di Chengdu," kata Dawos.

Pengarah Pentadbiran Pemuliharaan Hidupan Liar dan Hutan Semulajadi, Biro Perhutanan Negara China Zhang Xiwu berkata beliau yakin peminjaman beruang panda berkenaan kepada Malaysia bukan sahaja akan meningkatkan kerjasama dalam pemuliharaan hutan dan biodiversiti dan dalam bidang sosio-ekonomi dan kebudayaan, tetapi juga memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat kedua-dua negara.

Pada 15 Jun, 2012, Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Malaysia (Perhilitan) dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) menandatangani memorandum persefahaman bagi dua ekor beruang panda gergasi China dipinjamkan kepada Malaysia untuk tempoh 10 tahun sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China tahun ini.

Perkara itu dipersetujui susulan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada bekas Perdana Menteri China Wen Jiabao semasa Najib melakukan lawatan rasmi ke Nanning pada 2012.
panda gergasi

Artikel Berikut

Artikel Lain