KUALA LUMPUR: Polis akan terus meningkatkan kerjasama perkongsian maklumat perisikan dengan agensi keselamatan luar negara bagi memastikan Malaysia tidak menjadi hab atau transit untuk kumpulan militan. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kerjasama itu penting bagi memudahkan pemantauan aktiviti dan pergerakan kumpulan militan yang cuba mengembangkan ideologi mereka serta merekut anggota baharu di negara ini. "Biarpun negara ini menerima banyak kedatangan pelancong tetapi kami tahu apakah tindakan yang seharusnya diambil untuk memantau aktiviti militan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Pada 28 dan 29 April lepas, 11 individu dipercayai terbabit dengan kegiatan militan ditahan di Selangor dan Kedah oleh Polis Bahagian Counter Terrorism dan Cawangan Khas Bukit Aman. Kumpulan itu dipercayai terbabit dalam kumpulan militan yang mempunyai rangkaian di Syria dan selatan Filipina. Pada 8 Mei lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun warga Somalia di Selangor kerana dipercayai anggota kumpulan pengganas Al-Syabab dari Afrika. Pada 15 Mei lepas, polis menahan seorang suspek dari Asia Selatan yang dipercayai merancang melakukan serangan ke atas pejabat konsulat asing di India.