GEORGE TOWN: Polis negeri akan menyiasat insiden calon Bebas Pilihan Raya Kecil Bukit Gelugor, Abu Backer Sidek yang sengaja 'merempuh' dirinya ke arah kenderaan rasmi Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika ia hendak keluar meninggalkan pekarangan bangunan Dewan Undangan Negeri di sini pada Selasa. Ketua Polis Negeri, Timbalan Komisioner Kanan Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi mengesahkan ada laporan polis dibuat ke atas Abu Backer ekoran insiden tersebut. “Kita akan lakukan siasatan berdasarkan Kertas Inkuari Polis,” ujarnya. Selepas bertindak 'merempuh' dirinya sendiri ke arah kereta ketua menteri itu, Abu Backer kemudian didapati tergolek 'pengsan' di hadapan kereta tersebut. Kejadian tersebut berlaku pada jam 2 petang sehingga mencetuskan kesesakan lalu lintas di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri itu. Dia kemudiannya dibawa oleh sebuah ambulans ke hospital. Sementara itu, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, dari sudut undang-undang pilihan raya, calon Bebas itu tidak melanggar sebarang syarat atau peraturan yang ditetapkan. “Ini mungkin sebahagian daripada cara dia berkempen dan kita tidak menerima apa-apa aduan atau laporan berhubung kejadian tersebut,” katanya kepada para pemberita selepas melawat Balai Polis Air Itam di sini pada Rabu.