TELUK INTAN: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong menjangka Dyana Sofya Mohd Daud akan memberi saingan sengit pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan. Beliau tidak menganggap calon DAP itu sebagai pencabar yang lemah, sebaliknya beliau dilihat memiliki kekuatan tersendiri kerana faktor usianya. "Dia (Dyana) muda dan berpersonaliti menarik, menjadi tarikan kepada golongan muda semua kaum. "Itu kelebihannya dari segi faktor usia. Persaingan kali ini memang cukup mencabar," katanya dalam temuramah di pejabat Gerakan di sini, Rabu. Pada PRK Teluk Intan, calon BN yang berusia 53 tahun dan Presiden Gerakan itu akan bertanding satu lawan satu dengan Dyana, 27, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang. Siew Keong berkata, Dyana juga dijangka meraih undi simpati berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng. Ditanya mengenai kelemahan Dyana, beliau mengakui kurang pasti kerana tidak mengenali calon DAP itu. Sementara itu, Siew Keong berkata, pada masa ini, BN mempunyai peluang 45-55 peratus untuk untuk memenangi PRK Teluk Intan. "Kita masih 45 peratus kerana margin kehilangan berdasarkan undi majoriti begitu tinggi dan undi simpati kerana pemergian penyandang terdahulu pada usia muda iaitu 48 tahun. "Kita masih cuba untuk meningkatkan peluang itu kepada 50-50. Ada banyak masa untuk dilakukan dan diharapkan dapat mencecah 51 peratus menjelang Sabtu minggu depan," katanya. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei tahun lalu, Leong Peng mengalahkan Siew Keong dan calon bebas, K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.