suria

Ibu Bapa Rayu Orang Ramai Bantu Muhammad Niyaz Furqan

Muhammad Niyaz Furqan

PEKAN: Sepasang suami isteri merayu orang ramai untuk membantu membiayai perubatan bayi mereka berusia tujuh bulan yang mengidap penyakit 'Crouzon Syndrome' sejak dilahirkan.

Mohd Fazrul Razduan Kamaruzaman, 32, berkata anaknya Muhammad Niyaz Furqan, berusia 7 bulan, lahir dengan kecacatan fizikal di bahagian muka dan tengkorak kepala selain keadaan matanya merah serta sering mengalami masalah pernafasan.

"Penyakit tersebut jarang sekali ditemui di negara ini dan doktor sendiri tidak dapat mengesan sebarang masalah pada kandungan isteri saya, Norzati Iwani Ab Razak, 29, semasa beliau mengandung," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Sri Maulana di sini.

Kata, paling menyedihkan apabila bayi mereka juga tidak dapat mengelipkan dan menutup mata sejak lahir serta tidur dengan keadaan mata dan mulut terbuka.

Malah doktor turut memaklumkan saluran pernafasan di lubang hidung sebelah kanan anaknya terlalu kecil selain terdapat kandungan air di dalam kepalanya.

Katanya, pembesaran anaknya juga mengalami masalah apabila tulang di bahagian kepala membesar secara tidak normal sehingga menghimpit otak dan menyebabkan struktur kepalanya melonjong.

"Bayi kami telah menjalani satu pembedahan kecil pada 31 Mac lepas bagi mengurangkan tekanan cecair di dalam otak sekaligus mengelak sebarang masalah lebih teruk timbul. Pembedahan tersebut berjaya.

Namun, anaknya perlu menjalani satu lagi pembedahan pada 26 Mei ini melibatkan sekumpulan doktor pakar dan memerlukan perbelanjaan sebanyak RM40,000.

Beliau berkata, kos itu terlalu tinggi menyebabkan beliau tertekan kerana pendapatannya sebagai pemandu di sebuah hotel di Pekan dan gaji isterinya sebagai jururawat tidak dapat menampung kos tersebut.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd Fazrul di talian 019-9454546 atau menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya (0115529000025591).


Pekan, Pahang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain