Pasangan panda gergasi itu tiba melalui Kompleks MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 7.53 pagi dengan pesawat khas MASKargo Airbus 330-200 (MH6462) dari Chengdu, China.
Ketibaan dua ekor haiwan itu disambut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G.Palanivel dan Duta Besar China di Malaysia, Dr Huang Huikang.
Menjadi simbolik kepada sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara, pasangan panda itu dipinjamkan kerajaan China kepada Zoo Negara Malaysia bagi tempoh 10 tahun menerusi Program Penjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.
Pasangan panda yang diberi nama Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) itu dibawa ke Zoo Negara hari ini dan bakal dikuarantinkan kira-kira sebulan di tempat khas yang siap dibina.