MUDA, cantik dan berpersonaliti menarik dilihat sebagai senjata buat calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan. Namun mewakili DAP yang dilabel banyak pihak sebagai parti cauvinis kerana ideologi dan fahaman bersifat perkauman itu 'menggerunkan' segelintir pengundi Melayu. Selain dilihat tidak cukup pengalaman dalam politik, pengundi turut mempersoalkan adakah Dyana yang bakal mencecah usia 27 tahun pada Disember ini berkemampuan untuk menjadi wakil rakyat tanpa menumpukan parti yang dinaunginya. Peniaga, Ahmad Nassam Sokadi, 67, berkata, beliau tidak mengenali Dyana berbanding penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan, mendiang Seah Leong Peng. Ahmad berkata, bagaimanapun, beliau menerima Dyana sebagai calon PRK Teluk Intan kerana pernah menerima khidmat Leong Peng dari parti yang sama sebelum ini. "Dia (Dyana) masih muda, masih baharu. Adakah dia tahu perjuangannya dalam parti? "Kita tidak kisah kalau pencalonan Dyana antara lain untuk meraih sokongan pengundi Melayu tetapi tanpa pengalaman agak sukar untuk meyakinkan rakyat," katanya ketika ditemui mStar Online di sini. Bagi suri rumah, Rohana Rozali, 56, calon berpengalaman adalah pilihan pengundi kerana lebih mudah memberi khidmat kepada rakyat. Tambahnya, Dyana masih dianggap baharu dalam politik maka dia perlu diberi pendedahan bagi meyakinkan pengundi, terutama Melayu. "Kalau tak ada pengalaman mungkin agak susah, kita pun kurang yakin. Kalau dia kata mahu menentang perkauman, dia kena buktikan terlebih dahulu semasa berkempen," katanya yang merujuk antara misi Dyana adalah untuk menangani isu perkauman. Sementara itu, nelayan, Mohd Abdul Rahman, 52, turut berpendapat bahawa Dyana seharusnya memberi laluan kepada calon BN, Datuk Mah Siew Keong menjadi Ahli Parlimen Teluk Intan. Katanya, Siew Keong lebih berkelayakan memandangkan beliau pernah menjadi wakil rakyat di kawasan Parlimen itu selama dua penggal. "Ini bukan soal Dyana berbangsa Melayu mewakili DAP atau tidak tetapi sebagai rakyat Teluk Intan, saya lebih mementingkan kredibiliti seseorang itu tanpa mengira parti mana," kata Mohd. Bagaimanapun, pandangan anak muda dilihat berbeza apabila memilih Dyana kerana mempercayai calon itu mempunyai idea baharu dalam kepimpinan. "Sebagai wakil rakyat, bukan kira usianya tetapi perubahan yang akan dilakukan demi rakyat. Itu yang kita harapkan pada calon muda," kata suri rumah, Lily Maslina Mohd Razali, 22. Bagi Mohd Shahrin Naim, 23, pula melihat adalah wajar memilih calon Melayu untuk diberi peluang menjadi wakil rakyat. "Tidak ramai golongan muda diberi peluang seperti Dyana maka adalah sebaik-baiknya beliau diberi peluang menjadi contoh kepada anak muda Melayu tampil berani membawa suara rakyat," katanya. PRK Parlimen Teluk Intan 31 Mei ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud berikutan kematian penyandang, Seah Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu. Kawasan parlimen itu terdiri daripada 42 peratus pengundi Cina, 38 peratus Melayu dan 19 peratus India.