suria

Tetap Desak Rayer Mohon Maaf - Jahara

Jahara Hamid

GEORGE TOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Tawar, Datuk Jahara Hamid  tetap mendesak R.S.N. Rayer yang juga Adun Seri Delima supaya meminta maaf dan menarik kenyataan biadapnya terhadap Umno.

"Perkataan 'celaka, celaka Umno kurang ajar, biadap celaka mereka' merupakan perkataan cukup jijik menghina ahli Umno.

"Kenyataan ini menimbulkan perasaan benci dan provokasi terhadap semua ahli Umno," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul tergempar Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengenai kekecohan yang dicetuskan sekumpulan penyokong Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) petang Rabu.

Guan Eng yang juga Adun Air Putih membawa usul mengulangi kecaman terhadap tindakan yang disifatkan sebagai mencemar kemuliaan institusi DUN dan kedaulatan Malaysia untuk disokong wakil rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional.

"Tiada masalah kalau mahu kita sokong usul ini tapi Rayer perlu terlebih dahulu memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dikeluarkan di dalam dewan yang mulia ini pada Selasa.

"Memang kita tidak puas hati dan tidak setuju atas apa yang berlaku. Kalau melabelkan mereka sebagai 'samseng' kita juga harus mengawal samseng di dalam dewan ini," katanya.

Sementara itu, Guan Eng turut mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas untuk mengeluarkan satu laporan khas berkaitan insiden ini bagi memastikan ia tidak berulang lagi.

"Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertua DUN dan turut disertai Timbalan Yang di-Pertua , Adun Padang Kota, Permatang Pasir dan Ketua Pembangkang yang akan melaporkan kepada DUN asal-usul kejadian hitam ini," katanya.

Terdahulu, Rayer  berkata beliau tidak akan memohon maaf atau menarik balik kenyataannya "pemimpin Umno celaka".

Rayer berkata kenyataan itu dikeluarkan ketika persidangan DUN dan hanya merujuk kepada pemimpin-pemimpin parti itu, oleh itu ia harus diselesaikan dalam DUN.

"Setiap orang Adun (anggota dewan undangan negeri) mempunyai kebebasan untuk berucap dalam persidangan DUN (dewan undangan negeri), jadi dalam hal ini saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan saya tidak akan memohon maaf atau menarik balik kenyataan itu," katanya.




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain