MELAKA: Jabatan Imigresen Melaka menahan lapan wanita Indonesia dan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran di dua buah hotel bajet di Jalan Munshi Abdullah pada Rabu. Pemangku Pengarah Imigresen Melaka Abu Bakar Sidek Hasan berkata seorang daripada wanita berkenaan berumur 27 tahun dipercayai memiliki Mykad yang dipalsukan. "Kami telah serahkan Mykad berkenaan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri untuk pemeriksaan dan mendapati Mykad itu tiada dalam rekod JPN," katanya dalam sidang media Khamis. Menurut Abu Bakar Sidek, wanita berkenaan mendakwa berasal dari Sabah dan memiliki Mykad ketika berusia 18 tahun serta turut mendakwa dirinya datang ke semenanjung menggunakan pasport warganegara Indonesia. Katanya wanita itu akan diserahkan kepada pihak JPN untuk siasatan lanjut,manakala dua lelaki berumur 27 dan 30 tahun itu akan disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana sengaja memberi perlindungan dan mengambil pekerja bukan warga negara yang tidak memiliki pas yang sah. Abu Bakar Sidek berkata dalam operasi selama 17 jam bermula 1 pagi itu,pihaknya turut menahan 39 warga asing di dua lokasi berasingan sekitar Melaka Raya. Beliau berkata mereka yang berumur 20 hingga 47 tahun itu terdiri 20 lelaki dan lapan wanita warga Indonesia; sembilan lelaki Bangladesh; seorang lelaki Myanmar dan seorang wanita Thailand. "Daripada jumlah itu, dua wanita iaitu seorang warga Indonesia dan Thailand ditahan di sebuah pusat hiburan manakala selebihnya di tapak pembinaan,"katanya. Tambahnya kesemua mereka didapati melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan, masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas sah dan tinggal di negara setelah permit tamat tempoh.