suria

Harga Tiket Lawat Panda Tidak Melebihi RM20

KUALA LUMPUR: Harga tiket untuk melawat pasangan Panda mungkin tidak lebih daripada RM20 bagi dewasa dan separuh harga bagi kanak-kanak, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel.

Palanivel berkata Zoo Negara belum memutuskan harga sebenar tiket itu apabila orang ramai berpeluang melihat Panda jantan Fu Wa dan Panda betina Feng Yi bulan depan.

Kerajaan China meminjamkan pasangan panda itu kepada Malaysia selama 10 tahun dan haiwan tersebut selamat tiba di Kompleks MASKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pada Rabu.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Herba Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat, Palanivel berkata industri herba tempatan mampu menjana pulangan lumayan berdasarkan permintaan terhadap produk herba meningkat kepada US$93.15 bilion pada tahun 2015.

Pameran itu bertujuan menggalakkan kerjasama penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan dalam kalangan usahawan, pengeluar produk dan penyelidik herba tempatan selain memperkasakan keyakinan orang ramai terhadap potensi dan khasiat herba sebagai rawatan alternatif.

Lebih 40 usahawan industri herba tempatan menyertai pameran berkenaan yang diadakan bermula hari ini sehingga Ahad.


Panda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain