JOHOR BAHARU: Empat tahanan Penjara Ayer Molek di sini, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah semalam, selepas dipercayai dijangkiti meningitis. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata setakat ini 16 tahanan dikesan mempunyai tanda-tanda jangkitan yang sama manakala kira-kira 900 tahanan sedang menjalani saringan kesihatan. "Jangkitan ini dipercayai bermula semalam dan tindakan cepat terus dilakukan untuk membuat saringan terhadap 900 orang tahanan bagi mengelak keadaan lebih buruk," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat. Ayub berkata pada mulanya tahanan terbabit disyaki dijangkiti Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV) namun pemeriksaan lanjut mendapati mereka dipercayai mereka dijangkiti meningitis. Menurut Ayub, kenyataan rasmi akan dikeluarkan Kementerian Kesihatan.