suria

Kerja 'Merompak' Hasil Kapal Dihentikan

PETALING JAYA: Sebuah kapal yang secara haram 'merompak' bangkai kapal lain di perairan Pulau Pinang untuk dijadikan besi buruk telah ditahan dan diserahkan untuk tindakan lanjut kepada Jabatan Laut Wilayah Utara. 

Ketika diserbu pihak berkuasa, kapal yang dilengkapi dengan kren itu sedang membuang bahagian bangkai kapal berkarat di Pulau Kendi. 

Agensi berkenaan mula mengambil tindakan selepas The Star mendedahkan mengenai operasi secara haram yang dilakukan oleh kapal berkenaan.

Kapal yang berdaftar di Kemboja itu ditahan ketika sedang 'merompak' bangkai kapal Chosa Maru, atau lebih dikenali sebagai bangkai kapal Jepun dikalangan masyarakat tempatan. 

Tekong dan kesemua sembilan krew warga China turut ditangkap. 

"Kapal tersebut tidak mempunyai dokumen untuk melakukan kerja-kerja mengambil bangkai kapal lain dan ia beroperasi secara haram di perairan Malaysia," kata wakil jabatan marin itu. 

"Kami juga sedang menyiasat di mana kapal tersebut melupuskan sekurang-kurangnya lima bangkai kapal di Perairan Pulau Pinang, termasuk dua kapal Perang Dunia II," kata pegawai berkenaan. 

Pada ketika ini, beliau berkata jabatan berkenaan sedang menyiasat siapakah yang membeli besi buruk berkenaan. 

"Jabatan itu juga sedang menyiasat sejak  bila kapal itu menjalankan operasi secara haram serta sama ada ia turut dilakukan di kawasan selain Pulau Pinang." 

Pegawai berkenaan berkata jabatan itu sedang menyiasat sama ada kapal itu telah 'merompak' hasil kapal komersil atau kapal tentera di kawasan perairan timur dan barat Malaysia. 

Semalam The Star melaporkan terdapat usaha 'merompak' bangkai kapal termasuk dua kapal ketika era Perang Dunia II dan menjadikannya besi buruk telah berlangsung sejak awal tahun ini dan ia tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa.



bangkai kapal

Artikel Lain