suria

Ancaman Bakar Ibu Pejabat DAP Harus Disiasat - Hishammuddin

Calon Barisan Nasional, Mah Siew Keong dan Hishammudin Hussien bersama penduduk Kampung. Gambar diambil daripada twitter @HishammuddinH2O.

TELUK INTAN: Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein mahu ancaman hendak membakar ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur disiasat. 

Menteri Pertahanan itu berkata adalah tidak wajar ancaman seperti itu dibuat oleh sayap pemuda Umno.

Pada Jumaat Pemuda Umno berhimpun di ibu pejabat DAP bagi membantah kata-kata yang kesat dilemparkan oleh Adun Seri Delima daripada DAP, R.S.N. Rayer yang melabelkan "Umno celaka"  dalam persidangan dewan negeri Pulau Pinang. 

 
"Saya nasihatkan mereka siasat. Jangan ikut emosi.
 
"Dalam situasi hari ini, terutama bila anda mempunyai media sosial, maklumat tak berasas akan tersebar. Jadi jangan tunjuk reaksi emosional. 
 
"Biarlah ada kebijaksanaan dan kewarasan dalam mengambil tindakan dan siasat sedalam-dalamnya.
 
"Siapa sebenarnya dalang dalam apa juga perkara yang kita rasa tak kena," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan 'walkabout' bersama calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan Datuk Mah Siew Keong, di sini hari ini. 

Rayer pada Selasa mengeluarkan kata-kata tersebut, ketika membahaskan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri. 

Keesokannya beberapa orang anggota Umno merempuh masuk ke dalam dewan negeri menuntut Rayer memohon maaf. 

Hishammuddin, yang juga bekas Ketua Pemuda Umno, berkata DAP mempunyai muslihat bila sering melakukan provokasi. 

Beliau menasihatkan anggota Umno jangan mudah melatah dan tidak 'menari mengikut rentak DAP'. 

Menteri Pertahanan itu berkata pembangkang menimbulkan isu tertentu seperti kalimah "Allah" atau isu "Bible" semasa pilihan raya kecil di Sabah atau Sawawak bagi mencetuskan kemarahan rakyat. 
 
"Ini bukan perkara baru," katanya. 

Hishamuddin meminta pengundi Teluk Intan mengundi Mah pada 31 Mei ini, demi menentukan mereka terus mendapat manfaat dari pada program pembangunan rakyat.

Pemuda Umno, Rayer, Hishammuddin

Artikel Berikut

Artikel Lain