suria

Jangan Wujud Ketegangan Ketika Kempen - Hishammuddin

TELUK INTAN: Semua pihak digesa tidak mencetuskan ketegangan ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, penduduk tempatan tidak akan terganggu dari segi emosi kerana kebanyakan mereka yang berkempen akan meninggalkan kawasan Teluk Intan selepas berakhirnya pilihan raya kecil tersebut.

"Kebanyakan kita akan meninggalkan Teluk Intan dan kembali menjalani kehidupan seharian masing-masing selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil Teluk Intan.

"Adalah sia-sia untuk melakukan ketegangan di antara mereka yang berkempen dan penduduk tempatan," katanya kepada pemberita pada majlis gotong-royong di Masjid Kampung Padang Tembak di sini, Sabtu.

Hishammuddin yang juga pemangku Menteri Pengangkutan berkata, perlu ada batasan dalam berpolitik tanpa elemen kebencian ketika berkempen.

Tambahnya, rakyat tidak seharusnya beremosi terutama semasa pilihan raya kecil dan berkempen perlu dilakukan secara bersederhana.

"Seperti mana semua pilihan raya dan demonstrasi Bersih, negara kita masih kekal aman. Ia hanya bermusim dan akan berakhir selepas itu," katanya.

Hishammuddin berkata, rakyat perlu melihat insiden di negara-negara jiran seperti Thailand dan Vietnam yang berlaku perselisihan faham antara mereka.

"Kita perlu matang dalam kepimpinan dan kita perlu menghormati semua bangsa dan agama di negara ini," katanya.

Teluk Intan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain