suria

Kontraktor Maut, Kereta Terhumban Dalam Parit

MARANG: Seorang kontraktor Petronas maut manakala kembarnya parah selepas kereta yang dinaiki terbabas dan terhumban ke dalam parit di Km 24.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Marang ASP Zohan Seman berkata dalam kejadian 6.30 pagi itu, Zaharul Hazimi Zainudin, 27, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kembarnya Zaharul Hakimi patah paha kiri.
 
"Polis percaya kejadian berlaku apabila kereta yang dinaiki mangsa hilang kawalan dan gagal memasuki laluan asal selepas memotong sebuah bas," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Akibat itu, kereta yang dinaiki pasangan kembar terbabit berpusing dan merempuh paip air sebelum terhumban ke dalam parit, katanya.

Mohd Zohan berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan kembarnya turut menerima rawatan di hospital sama.

Sementara itu bapa pasangan kembar terbabit Zainudin Abdul Ghani, 53, berkata mereka meninggalkan kediamannya di Kampung Bukit Bayas di sini pada 6.15 pagi untuk ke tempat kerja di Paka, Dungun.
 
"Namun sejam selepas itu saya menerima panggilan daripada anak sulung(Zaharul Hakimi) yang mengatakan mereka terlibat dalam kemalangan dan adiknya tidak sedarkan diri," katanya.

Menurutnya kedua-dua anaknya itu pulang ke rumah pada Khamis untuk bersama-sama keluarga selepas datuk mereka meninggal dunia akibat asma pada malam berkenaan.

Zainudin berkata kedua-dua anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan namun Zaharul Hazimi ada memberi wang kepada ibu dan adik-adik untuk membeli persiapan raya.
 
"Lazimnya dua minggu sebelum raya baru dia beri duit kepada kami dan adik-adiknya untuk buat persiapan raya namun kali ini agak awal dan saya tidak sangka dia akan pergi selamanya," katanya.
kereta terhumban, kontraktor, maut

Artikel Lain