suria

Godam Telefon Bimbit Pemimpin DAP Tindakan Sabotaj - Ramkarpal

GEORGE TOWN: Calon DAP bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh Deo berkata insiden penggodaman telefon bimbit baru-baru ini dianggap sebagai tindakan sabotaj terhadap DAP.

Ramkarpal, anak ketiga mendiang Karpal Singh berkata, beliau bernasib baik telefon bimbitnya tidak digodam dan ia jelas satu tindakan untuk mensabotaj parti.
 
"Saya tidak nampak ia memberi kesan terhadap kempen saya pada pilihan raya kecil ini kerana saya yakin rakyat boleh membuat penilaian," kata beliau kepada pemberita semasa kempen di Sunshine Hypermarket di Bandar Baru Air Itam di sini hari ini.

Beberapa pemimpin DAP dilaporkan membuat laporan polis hari ini kerana mendakwa telefon bimbit mereka telah digodam.

Ramkarpal terlibat dalam pertandingan empat penjuru dengan naib presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan dan dua calon bebas iaitu Abu Backer Sidek Mohammad Zan dan Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar.

Pengundian bermula pukul 8 pagi esok dan ditutup pada 5 petang.

Kerusi Parlimen Bukit Gelugor diisytiharkan kosong selepas Karpal, yang juga bekas pengerusi DAP, maut dalam nahas jalan raya pada 17 April lepas.

Ramkarpal, godam, telefon bimbit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain