suria

Jalan Kaki Dari S'pura Ke Melaka Demi Mengingati MH370

Warga Britain, David Atthowe (kanan) menyerahkan replika cek yang berjaya dikumpulkannya selepas menyahut cabaran berjalan kaki sejauh 300 kilometer dari Singapura ke Melaka bagi memperingati insiden kehilangan pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 pada 8 Mac lepas selamat tiba di Melaka pada Sabtu.

MELAKA: Warga Britain David Atthowe yang menyahut cabaran berjalan kaki sejauh 300 kilometer dari Singapura ke Melaka bagi memperingati insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 pada 8 Mac lepas selamat tiba di Melaka pada Sabtu.

Atthowe, 24, yang disertai penyampai radio Traxx.fm Rishiwants Singh atau 'Rishi The Flying Singh', pemuzik Dya Singh dan Vic Briggs melalui program 'Goodwill Walk 2014' itu tiba Jalan Temenggong di sini kira-kira jam 6.50 petang selepas memulakan perjalanan pada 17 Mei lepas.

Atthowe yang boleh berbahasa Melayu ketika ditemui Bernama berkata beliau terpaksa menempuh pelbagai cabaran termasuk mengalami kecederaan fizikal seperti terseliuh pergelangan kaki, melecet dan kekejangan.

Bagaimanapun beliau berkata kecederaan itu bukan penghalang untuknya menamatkan perjalanan kerana cabaran itu juga bertujuan membantu memungut dana berjumlah RM50,000 bagi golongan kurang bernasib baik di negara ini.

"Saya juga berpeluang bergaul dengan pelbagai masyarakat tempatan dan peserta yang berbilang kaum tanpa sebarang prejudis selain dapat mempelajari budaya setiap kaum di sini," katanya yang berasal dari Norwich City, England.

Program anjuran badan bukan kerajaan, United Sikhs itu memerlukan peserta berjalan kaki sekurang-kurangnya 35 kilometer sehari atau kira-kira 10 jam yang bermula dari Singapura sebelum ke Pontian, Batu Pahat, Muar dan berakhir di Melaka.

Atthowe sebelum ini pernah menjelajah Semenanjung Malaysia dengan jarak 1,110 kilometer bermula dari Johor ke Perlis pada Februari lepas. 


MH370, Melaka, Singapura

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain