KUALA LUMPUR: Seramai 18,000 pesakit di seluruh negara masih menanti untuk mendapatkan rawatan pemindahan organ, kata Ketua Jabatan Pakar Nefrologi, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Dr Rafidah Abdullah. Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Transplan Malaysia (PTM) berkata, perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan pendermaan organ di negara ini hanya pada kadar 0.8 peratus bagi sejuta penduduk, iaitu antara peratusan terendah di dunia. "Tahap kesedaran di kalangan masyarakat masih rendah, dengan penurunan bilangan penderma organ baharu setiap tahun. "Pada tahun 2010, jumlah penderma organ adalah sebanyak 31,085 orang, manakala tahun 2012 menurun kepada 30,482 orang dan tahun lepas hanya 25,415 orang," katanya kepada pemberita pada majlis 'Organ Donation Night Run - Race Againsts Time, Run For Life 4.0' di Universiti Malaya (UM), di sini. Sehingga April lalu, jumlah pengikrar penderma organ adalah 463 orang iaitu kaum Cina mewakili 60 peratus, India 26 peratus, Melayu enam peratus dan enam peratus lagi adalah kaum lain, katanya. Rafidah berkata, Kementerian Kesihatan kini giat melaksanakan pelbagai aktiviti dan program mempromosikan kempen derma organ termasuk Larian Organ Donation 2014 sejak empat tahun lalu. Larian sejauh 10 dan lima kilometer itu dilepaskan oleh Presiden PTM, Datuk Dr Harjit Singh dan disertai kira-kira 700 peserta daripada pelbagai peringkat usia. Sementara itu, Pensyarah Anatomi, Fakulti Perubatan UM, Dr Junaidah Sanusi berkata, larian tersebut turut menggalakkan pendaftaran baharu penderma organ di kalangan mahasiswa.