suria

PRK Bukit Gelugor: Warga Emas Hadir Awal Buang Undi

Che Embun

GEORGE TOWN: Keadaannya yang uzur tidak menghalang seorang warga emas, Che Embun Majid, 84, untuk keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor pada Ahad.

Sebaliknya, beliau melahirkan rasa puas kerana masih berpeluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

"Saya bersyukur kepada Allah kerana masih hidup dan diberi peluang untuk keluar mengundi," katanya.

Che Embun yang menetap di Taman Tun Sardon berkata beliau tidak pernah gagal melaksanakan tanggungjawab pada setiap pilihan raya.

"Saya tidak pernah tak keluar mengundi. Malah, saya keluar mengundi sejak awal selepas merdeka lagi," katanya.

Beliau yang berkerusi roda diiringi cucunya, Mashitah Mohd Yusof, 32, antara yang terawal keluar mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Datuk Mohd Nor Ahmad dekat Taman Tun Sardon, Gelugor di sini.

Sementara itu, beliau berharap agar wakil rakyat baharu nanti dapat menjaga kebajikan rakyat dan melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.

"Saya harap dia lebih berjiwa rakyat dengan memandangkan berat masalah penduduk di sekitar Bukit Gelugor.

"Kita tak mahu orang yang salah dipilih tapi biarlah yang baik dan bersih," katanya.

Sementara itu, seorang lagi warga emas,  R.Nachiammal, 80, turut mengharapkan lebih banyak pembaharuan dilakukan di Taman Tun Sardon yang didudukinya sejak 10 tahun lalu.

Beliau yang juga anak jati Pulau Pinang berkata, calon yang dipilih nanti diharap lebih lantang dan peka dalam menyelesaikan masalah setempat.

"Kita tak mahu wakil rakyat yang pandai cakap saja. Apa yang kita mahukan adalah seorang pemimpin yang bertanggungjawab kepada rakyat," katanya.

Bukit Gelugor

Artikel Berikut

Artikel Lain