KUALA LUMPUR: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah menetapkan satu alamat e-mel khas untuk keluarga anak-anak kapal dan penumpang pesawat hilang Malaysia Airlines (MAS) MH370 menghantar pertanyaan mengenai data satelit mentah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa pada Selasa. "Saya sendiri tidak betul-betul faham (data). Kita perlu pakar-pakar untuk melihatnya," kata Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman, Selasa. "Kami telah meletakkan saluran khas untuk sesiapa sahaja yang mahu membuat sebarang pertanyaan teknikal iaitu di [email protected] . Kami akan mendapatkan pakar-pakar untuk memberi penerangan kepada mereka," katanya. Azharuddin berkata terpulang kepada keluarga apa yang mereka mahu lakukan dengan data yang dikeluarkan sambil menambah mereka boleh berunding dengan pakar bebas mengenai perkara itu. Elaine Chew, isteri salah seorang anak kapal MH370, Tan Size Hiang berkata dia mendapati data tersebut tidak dapat dibacanya. "Saya tidak memahaminya. Saya mendapat 47 muka surat data. Bolehkah mereka (DCA) membuat penjelasan mengenai data 47 muka surat itu? "Katanya. CNN melaporkan bahawa Sarah Bajc, pasangan penumpang MH370 Philip Wood merancang untuk menghantar data untuk dianalisis pakar bebas. "Perkara pertama yang kita akan harapkan ialah maklum balas mengenai adakah data tersebut kelihatan benar. Adakah ia cukup lengkap yang membawa kita untuk mempercayainya?" Bajc dipetik sebagai berkata.