suria

Nasib Raja Bukit Malaysia

Gambar kenangan yang dirakamkan Osman (kanan) bersama atlit negara, Nuru Huda Abdullah, M Kumaresan dan Faiznur Miskin ketika Sukan SEA 1998 di Kuala Lumpur.

PETALING JAYA: Bekas pembantu jurulatih dan jaguh lumba basikal negara, Osman Limat berharap kerajaan dapat merangka perancangan rapi untuk pembantu dan jurulatih separuh masa di peringkat negeri dan kebangsaan supaya dapat meneruskan kehidupan dengan selesa.

Pernah bergelar Raja Bukit pada awal 70-an, anak kelahiran Muar, Johor yang lebih mesra disapa Pak Man menganggap tanpa perhatian kerajaan, tentunya akan lahir lebih ramai Osman Limat di negara ini pada masa depan.

"Jangan jadi macam saya, dulu masa jadi atlit dan jurulatih nak tukar tayar basikal pun tak mampu sampaikan kena berhutang dengan ceti. Nasib baik ada bakat melukis, jadi kalau poket kosong boleh jual lukisan untuk tampung belanja keluarga ketika sesak dan sampai sekarang hasil lukisan juga yang banyak membantu saya meneruskan hidup.

"Malahan, basikal yang saya guna ketika menang gelaran Raja Bukit pun saya terpaksa jual kira-kira 15 tahun lalu," katanya yang meninggalkan dunia sukan berbasikal atas faktor usia dan menumpukan perhatian dengan menghasilkan karya seni lukisan.



Pak Man menganggap dirinya umpama burung walit, dimana ada rezeki di situ beliau terselit untuk meneruskan hidup.


Osman yang pernah memperoleh sijil kejurulatihan di Bangkok dan Majlis Sukan Negara (MSN) menganggap personalitinya yang sentiasa 'happy go lucky' membolehkan beliau meneruskan hidup walaupun ramai yang sudah melupakan sumbangannya kepada arena sukan lumba basikal di peringkat Pahang dan negara.

Menetap di Kuantan, beliau yang terkilan kerana pengorbanannya ketika zaman muda untuk kecemerlangan sukan negara berakhir dengan memori agak pahit kini hanya bergantung kepada wang pencen RM800 sebulan sebagai pegawai landskap Kementerian Kesihatan, selain hasil jualan lukisannya.

"Memang dah beribu-ribu lukisan saya hasilkan tapi yang ada sekarang hanya kira-kira 80 sahaja, lainnya dijual terutama bila sesak. Apa pun saya bersyukur kerana memiliki keluarga dan rakan yang memahami diri saya, walaupun tidak hidup senang tetapi saya tidak merempat.

"Kalau ada yang masih mengingati sumbangan saya, jenguklah galeri tidak seberapa ini," katanya yang pernah menjadi pembantu jurulatih untuk pelumba basikal negara, M Kumaresan.

Atlit negara pada Sukan SEA Singapura pada 1972 yang kini berusia 66 tahun dan suami kepada Jamilah Jais ini menghabiskan masanya setiap hari di Galeri Rajawali yang terletak di Taman Cenderawasih, Kuantan.



Sokongan isteri memberi semangat untuk Pak Man berkarya di galeri yang dibina menggunakan kayu terpakai.


Ketika berkunjung ke galeri itu, bapa kepada tujuh cahaya mata itu sibuk menyiapkan lukisan bertemakan alam yang memaparkan suasana nyaman dan tenang di Hutan Royal Belum, Perak di teratak yang dibina menggunakan kayu terpakai.

"Galeri ini belum siap sepenuhnya sebab tak cukup bajet, jadi cara terbaik untuk mendapat bekalan kayu adalah  dengan menukarkan kayu terpakai dengan lukisan saya, macam sistem barter.

"Memang sebelum ini ada beberapa pihak berjanji nak bantu, tapi janji hanya tinggal janji, lagi pun saya dah tua dan tak aktif bersukan lagi," katanya yang lahir dengan hanya memiliki empat daripada 10 jari di kedua-dua tangannya.

Ditanya bagaimana beliau boleh merangkul gelaran Raja Bukit sedangkan kedua tangannya tidak sempurna, Osman berkata: "Nak naik bukit bukan perlukan tangan, tetapi kita perlu ada akal fikiran dan kaki yang kuat."

Kali terakhir ahli Persatuan Pelukis dan Persatuan Berbasikal Pahang ini kali terakhir menyumbang bakti kepada negara apabila diminta menjadi pembantu jurulatih pasukan berbasikal pada Sukan SEA Indonesia 2011.


Artikel Lain