TELUK INTAN: Sebanyak 95.61 peratus pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan membuang undi di pusat pengundian awal Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini sehingga pukul 5 petang. Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, jumlah itu meliputi 392 daripada 410 anggota polis yang juga pengundi awal pada PRK itu. Terdahulu, angka kehadiran pengundi awal mencapai 93.17 peratus setakat pukul 4 petang tadi membabitkan 382 pengundi awal. Ketua Balai Polis Ulu Bernam, Sarjan Mejar Samsudin Mat Yusof, 54, merupakan pengundi awal pertama membuang undi sebaik sahaja pengundian dibuka pada pukul 8 pagi. Turut kelihatan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang yang mengundi pada kira-kira pukul 10 pagi. Calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud turut hadir untuk melawat pusat pengundian awal pada pukul 9.30 pagi diikuti Datuk Mah Siew Keong dari Barisan Nasional (BN) 10 minit selepas itu. Selain itu, Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Pegawai Pengurus SPR PRK Teluk Intan, Datuk Ibrahim Ahmad juga berada di pusat mengundi pada pagi Selasa. Pusat pengundian mula dibuka seawal pukul 8 pagi dan ditutup pada pukul 5 petang nanti. PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antar Siew Keong dan Dyana Sofya. Kekosongan kerusi Parlimen Teluk Intan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu. Pada Pilihan Raya Umum ke-13 Mei tahun lalu, Leong Peng mengalahkan Siew Keong dan calon bebas, K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi. Hari mengundi PRK Teluk Intan pada 31 Mei ini.