KUALA LUMPUR: Seorang penganggur yang baru sebulan bebas daripada hukuman penjara sekali lagi merengkok di sebalik tirai besi selepas Mahkamah Majistret di sini pada Selasa memerintahkannya menjalani hukuman itu tiga bulan kerana mencuri gula-gula di sebuah pasar raya. Majistret Zuraini Abdul Razak memerintahkan Mohd Zaki Abdul Arif, 33, yang mengaku bersalah atas tuduhan itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 26 Mei (semalam). "Kamu ambil benda ini nak buat apa? Nak jual, beli dadah? Kalau saya menjatuhkan hukuman ringan kamu akan buat lagi sebab sebelum ini dah dua kali kamu masuk penjara tapi masih tak insaf. Kamu baru keluar penjara pada 21 April lalu," kata Zuraini ketika prosiding dan tertuduh kelihatan tunduk sahaja. Mohd Zaki yang tidak diwakili peguam didakwa mencuri dua kotak gula-gula Chewy Dragees Mentos bernilai RM67.20 di pasaraya KK Supermart, Jalan Dang Wangi di sini pada 3.30 petang, Isnin. Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda. Ketika rayuan, tertuduh memohon supaya mahkamah menjatuhi hukuman ringan kerana dia perlu menjaga ibu bapanya yang sudah tua, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan dia pernah dipenjarakan sebelum ini. Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan pembantu pasar raya itu melihat tertuduh mengambil dua kotak gula-gula dan menyimpannya di dalam baju sebelum keluar dari pasar raya itu tanpa membuat bayaran. Pengadu kemudian mengejar Mohd Zaki yang melarikan diri ke arah Kompleks Wilayah dan berjaya menangkap tertuduh di hadapan sebuah kondominium lalu merampas semula dua kotak gula-gula yang disorok di dalam poket seluar sebelah kiri serta kanan.