XI'AN (China): Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pada Selasa untuk lawatan rasmi enam hari di China sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Najib, yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Xi'an Xianyang pada kira-kira 5.25 petang. Ketibaan mereka disambut oleh Duta Besar Malaysia di China, Datuk Iskandar Sarudin dan isterinya Datin Rahmah Mohd Lajis, Naib Gabenor Provinsi Shaanxi Wang Lixia, Timbalan Setiausaha Agung Provinsi Shaanxi Zhang Xiaoning, Ketua Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Shaanxi Zhang Baowen dan Duta Besar China ke Malaysia Huang Huikang. Lawatan beliau ke China adalah atas undangan rakan sejawatannya Li Keqiang. Anggota lain delegasi Malaysia ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Duta Khas Perdana Menteri di China Tan Sri Ong Ka Ting. Najib dan rombongannya dijadual melawat Xi'an dan Beijing dari 27 Mei hingga 1 Jun sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik dijalin antara Malaysia dan China. Sejurus tiba di hotel penginapan mereka, Najib dan Rosmah menerima kunjungan Gabenor Provinsi Shaanxi, Lou Qinjian. Kemudiannya, Najib dan rombongannya dijadual menghadiri jamuan malam dihoskan oleh Lou di hotel itu. Esok, Najib, yang juga Menteri Kewangan dijadual merasmikan Minggu Festival Makanan Halal Malaysia-Xi'an di Jalan Beiyuanmen (Jalan Muslim) dan melawat gerai Malaysia. Sebelum melawat Muzium Pahlawan Qin Terracotta dan Kuda, perdana menteri dan isteri akan melawat Masjid Besar Xi'an berusia 1,200 tahun. Selepas itu mereka akan berlepas ke Beijing dan bertemu pemimpin tinggi China di sana pada hari yang sama.