suria

Tangkapan Seludup Budak Ke Thailand Tidak Benar - UPP

PETALING JAYA: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah menafikan dakwaan telah membuat tangkapan berkenaan penyeludupan kanak-kanak ke Thailand seperti yang disebar melalui aplikasi Whatsapp.

Komandernya, Abd Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya sehingga kini tidak pernah membuat tangkapan terhadap lori ayam yang membawa kanak-kanak untuk diseludup organ di negara jiran itu.

"Khabar angin mendakwa enam kanak-kanak telah diselamatkan di Bukit Kayu Hitam, Kedah ketika hendak diseludup ke Thailand untuk diambil organ adalah tidak benar.

"Malah untuk pengetahuan, peniaga dari negara ini tidak mengeksport ayam ke Thailand sebaliknya Malaysia yang mengimport haiwan ternakan  itu ke sini.

"Oleh itu terbukti bahawa dakwaan itu tidak munasabah dan hanya menakutkan orang ramai," katanya.

Khabar angin yang disebarkan menerusi Whatsapp mendakwa UPP telah menahan sebuah lori membawa ayam eksport ke Thailand dan menemui enam kanak-kanak yang diculik dalam keadaan separuh sedar di Bukit Kayu Hitam.

Kanak-kanak yang masih belum tahu bercakap itu dikatakan akan dibawa ke negara jiran untuk diambil organ.

Abd Latif memberitahu, orang ramai diminta tidak mempercayai khabar angin itu serta berhenti menyebarkannya.

"Ia bukan fakta benar yang membawa kebaikkan sebaliknya sekadar khabar angin," ujarnya.

Thailand, UPP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain