suria

Kemangkatan Sultan Perak: Calon PRK Teluk Intan Sembah Takziah

TELUK INTAN: Kedua-dua calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan merakamkan sembah takziah di atas kemangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada Rabu.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong berkata, Almarhum Sultan Perak begitu prihatin terhadap rakyat yang menyanjungi baginda.

"Patik menyampaikan sembah takziah di atas kemangkatan baginda,” katanya.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada jam 1.30 tengah hari Rabu dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar, Khamis.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mengenai PRK Teluk Intan, Siew Keong berkata, beberapa program terpaksa dibatalkan atau kempen parti akan dikurangkan bagi menghormati kemangkatan Sultan Perak.

“Kami akan menunggu sebarang pengumuman rasmi dari Istana berhubung protokol yang perlu diikuti,” katanya kepada mStar Online menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sementara itu, calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud pula berkata, beliau bersama pimpinan dan ahli parti mendoakan agar Tuhan mencucuri rahmat ke atas roh baginda.

“Patik sebagai anak kelahiran Perak merakamkan sembah takziah. Semoga Allah S.W.T menempatkan baginda di kalangan orang-orang yang soleh dan taqwa.

“Patik ingin menyatakan rasa dukacita di atas pemergian baginda yang menjadi lambang perpaduan dan persaudaraan rakyat Perak,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Lain