BUTTERWORTH: Seorang pemandu lori membawa muatan asid hidroklorik maut selepas kenderaan berat yang dipandunya terbabas dan terbalik di Kilometer 126.9 Lebuh Raya utara Selatan arah utara dekat sini, pagi Khamis. Dalam kemalangan pada pukul 7.35 pagi itu, mangsa Lam Thin, 61, dari Taman Mewah maut ditempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah. Difahamkan, mangsa tidak dapat mengawal lori tersebut selepas salah satu daripada tayar kenderaan berat itu tercabut. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, kelindan lori itu, Sukumar Ghosh bagaimanapun hanya mengalami kecederaan dan berada dalam keadaan stabil di hospital. "Ketika kemalangan, lori tersebut dalam perjalanan dari Seberang Jaya ke Sungai Petani untuk menghantar asid yang dibawa. "Bagaimanapun ketika melalui lokasi kejadian, satu daripada tayarnya tercabut dan menyebabkan kenderaan berat tersebut hilang kawalan serta terbalik. Ekoran itu, pasukan bomba dan penyelamat telah dipanggil untuk membantu," katanya. Berikutan kemalangan itu, berlaku kesesakan teruk dari Tol Sungai Dua dan aliran trafik kembali pulih selepas asid berjaya dikawal oleh pihak bomba.