suria

Tukar Hak Milik Kenderaan Perlu Pengesahan Biometrik Mulai 1 Jun

Datuk Seri Ismail Ahmad
PUTRAJAYA: Berkuatkuasa 1 Jun ini, semua urusan pertukaran hak milik kenderaan hanya boleh dilakukan melalui sistem pengesahan biometrik.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad berkata sistem itu diperkenalkan secara berperingkat mulai 1 April lepas.

Beliau berkata kaedah itu memudahkan pemilik lama dan baharu dengan mereka tidak perlu hadir serentak di kaunter bagi membuat pengesahan biometrik.

"Pemilik berdaftar dan pemilik baharu boleh hadir di mana-mana kaunter JPJ berdekatan secara berasingan dengan syarat pengesahan itu perlu dibuat dalam tempoh tujuh hari," katanya.

Kaedah baharu itu selaras dengan program tranformasi JPJ di bawah pelaksanaan sistem mySIKAP.

Ismail berkata sistem baru itu dapat mengelak berlakunya pertukaran hak milik kenderaan tanpa diketahui pemilik asal dan mengurangkan peranan orang ketiga.

Selain itu, pertukaran hak milik kenderaan juga boleh dilakukan secara dalam talian mulai 1 Jun ini.

"Tetapi sebelum itu, pengguna perlu hadir ke kaunter JPJ untuk mendapatkan nombor ID serta membuat pengesahan biometrik. 

"Nombor ID itu kemudian boleh digunakan untuk urusan lain JPJ," jelas beliau.

Artikel Lain