SEPANG: Wanita warganegara China, Gao Huayuan, yang berjaya diselamatkan pihak berkuasa negara selepas diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata pada 2 April lalu akan dihantar pulang ke negara asalnya hari ini (Sabtu), kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Tanpa mendedahkan masa perlepasan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khalid berkata, Huayuan, 29, terlebih dahulu dibawa dari Sabah sebelum berlepas ke China. "Kerajaan Malaysia sedang mengatur perjalanan Huayuan dengan selamat untuk bertemu keluarga yang menunggu kepulangannya sejak awal April lalu," katanya kepada pemberita di KLIA sebelum berlepas ke London, di sini, Sabtu. Menurutnya, warga Filipina Marcy Dayawan, 40, yang diculik bersama Huayuan dalam kejadian itu, juga akan dihantar segera ke negara asalnya. Ditanya sama ada pihak media diberi peluang bertemu Huayuan untuk mendapatkan berita tentang pengalaman pahit yang dilaluinya, Khalid berkata, wanita itu tidak harus diberi tekanan. "Saya rasa dia pun tak mahu. Jangan ganggu dia. Dia pun dah lama dalam tekanan. Biarlah dia berjumpa dengan keluarga dahulu," katanya. Pada 2 April lalu, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menculik Huayuan, yang berasal dari Shanghai, dan Dayawan, pekerja di Singamata Adventures and Reef Resort, kira-kira 10.30 malam.