KUALA LUMPUR: Golongan gelandangan yang mempunyai anak hari ini disaran menyerahkan segera anak-anak mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) demi perlindungan dan kehidupan mereka yang sempurna. Beberapa tokoh masyarakat berkata, langkah sedemikian amat perlu demi mengelakkan anak-anak yang masih kecil itu hidup dalam persekitaran tidak sihat dan terjebak dalam dunia pelacuran, penagihan dadah dan jenayah. Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar berkata gelandangan yang merempat di sekitar ibu kota perlu sedar bahawa kanak-kanak di bawah pengawasan JKM bukan 'didera' sebagaimana anggapan mereka. "Malah (anak-anak itu) akan berdisiplin selain diberi pendidikan yang secukupnya bagi menjadi insan berguna kepada masyarakat dan negara pada masa depan. "Serahkan kepada JKM. Sekurang-kurangnya kanak-kanak itu dapat keperluan harian - makanan, minuman dan pendidikan," katanya. Akhbar menyifatkan kedegilan ibu bapa gelandangan untuk menyerahkan anak kepada JKM adalah satu penganiayaan kepada anak-anak yang tidak berdosa itu.