suria

Polis Guna Helikopter Jejak Tiga Nelayan Hilang Dekat Pulau Tenggol

DUNGUN: Polis akan menggunakan helikopter bagi mencari tiga nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Tenggol dekat sini sejak lapan hari lalu. 

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacob berkata pihaknya telah memohon bantuan unit udara dari Bukit Aman.
 
Usaha menjejaki tiga nelayan sebelum ini menggunakan kapal peronda menemui jalan buntu. 

"Kita jangkakan hari ini operasi menerusi udara akan digerakkan namun kita masih menunggu kelulusan dari pihak atasan," katanya.
 
Menurutnya mangsa, Che Wan Mohd Radzi Che Wan De, 48; Wan Kamarudin Wan Ali, 52; dan Ahmad Che Ngah, 39; keluar menagkap ikan di kawasan perairan Pulau Tenggol sejak 26 Mei lepas dan tidak pulang-pulang sehingga Isnin.

Isteri salah seorang daripada mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun dan usaha menghubungi mereka menerusi telefon bimbit juga gagal. 

Ahmad Zailani berkata pihaknya mendapat kerjasama Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta unit skuba Bomba mengesan nelayan itu.
nelayan, hilang, polis

Artikel Lain