suria

Kedaulatan Undang-Undang Perlu Dijunjung Tinggi Dalam Menangani Isu Laut China Selatan - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kedaulatan undang-undang perlu dijunjung tinggi dalam menyelesaikan isu berkaitan Laut China Selatan. 

Kata Najib, beliau "prihatin dan amat bimbang" sekiranya langkah yang diambil pihak terbabit dalam menegaskan hak mereka, biar seberapa kecil sekalipun, akan hanya merumitkan lagi keadaan dan tidak menepati kepentingan mana-mana pihak dalam jangka panjang.

"Kita perlu berpegang teguh pada prinsip tidak menggunakan kekerasan, tetapi sebaliknya menyelesaikan pertikaian secara aman.

"Sebarang langkah yang diambil perlulah tidak memburukkan lagi keadaan dan meningkatkan ketegangan," katanya ketika merasmikan rundingan Meja Bulat Asia Pasifik ke-28 di sini malam Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Najib, bagaimanapun menyatakan keyakinan beliau bahawa "ikatan persahabatan yang merapatkan kita adalah lebih kukuh dan berkekalan daripada perselisihan yang boleh memecah-belahkan kita".

Pihak terlibat tidak sepatutnya melencong daripada menyelesaikan konflik melalui dialog dan secara aman yang telah terbukti keberkesanannya, kata beliau sambil menegaskan bahawa beliau sentiasa mengharapkan agar pertimbangan secara bijaksana akan mengatasi segalanya.

Najib juga menegaskan tentang komitmen padu Malaysia terhadap Deklarasi Bersama Menteri-menteri Pertahanan Asean mengenai Kerjasama Pertahanan ke Arah Mewujudkan Komuniti Asean yang Aman dan Makmur baru-baru ini.

Beliau menyifatkannya sebagai suatu langkah penting ke arah mengukuhkan lagi tonggak politik-keselamatan Komuniti Asean.

"Hanya dengan jaminan keamanan sahajalah yang akan membolehkan rantau ini menarik pelaburan, menggalakkan inovasi serta mewujudkan pekerjaan untuk penduduknya," kata beliau.

Najib berkata negara-negara Asia Tenggara mahukan keamanan, kemakmuran dan keadaan yang mudah dijangka, di samping bebas, kuat dan bertenaga dari segi ekonomi.

"Matlamat kita ialah mempunyai sebuah rantau di mana setiap negara menghormati satu sama lain serta menghayati peraturan dan norma, dan di mana harga diri serta maruah dipameran melalui niat yang berlandaskan keamanan, dasar berwawasan dan kepimpinan yang baik.

"Kita inginkan sebuah rantau di mana jaminan yang benar-benar kukuh terhadap keamanan dan kemakmuran terletak dalam kerjasama antara negara, bukan pertentangan antara satu sama lain," katanya.

Najib juga menyentuh tentang kepentingan memelihara dan memperkukuhkan tabiat bekerjasama seperti yang dapat dilihat dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang dan dalam pelbagai isu lain.

"Menentang ancaman keganasan, contohnya, memerlukan perkongsian hasil risikan dengan sebanyak mungkin serta penyelarasan dalam kalangan agensi keselamatan kita," katanya.

Najib memberi contoh kejayaan polis Malaysia baru-baru ini menahan seorang rakyat asing yang dipercayai terlibat dengan rancangan serangan ganas terhadap beberapa konsulat asing di India, termasuk konsulat jeneral Amerika di Chennai.

Mengenai kehilangan pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac, Najib berkata orang belum pernah melihat kerjasama seerat itu wujud dalam kalangan negara di rantau ini dalam usaha mencari pesawat berkenaan.

"Walaupun MH370 belum dijumpai - dan saya yakin akhirnya kita akan menjumpainya - usaha kita secara bersama dan terselaras menunjukkan tentang pentingnya menggembleng kekuatan semua negara ketika keadaan amat memerlukan," kata beliau.

Artikel Lain