IPOH: Sebahagian jalan menuju ke puncak Bukit Larut di Kilometer 8 Batu Lima rosak teruk ekoran hujan lebat tanpa henti selama hampir empat jam pada Isnin. Setiausaha Keselamatan Daerah di Pejabat Tanah dan Daerah Larut, Matang dan Selama, Zailani Hashim berkata hujan lebat mulai pukul 2.30 petang itu menyebabkan aliran air deras mengalir ke lereng bukit dari puncak destinasi pelancongan itu. Ia sekaligus menghakis tanah di kawasan tersebut sebelum tanah di situ rebak, katanya ketika dihubungi di sini Selasa. Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya daerah berkenaan kini sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta baik pulih laluan tersebut. Justeru itu, laluan menuju ke puncak Bukit Larut ditutup kepada kenderaan sehingga kerja baik pulih selesai, katanya. Zailani berkata pada masa sekarang hanya pejalan kaki dibenarkan mengguna laluan itu. Bukit Larut, juga dikenali sebagai Bukit Maxwell, terletak kira-kira 12 kilometer dari bandar Taiping, dekat sini dan lebih kurang 1,036 meter dari paras laut. Ia adalah pusat peranginan pertama dan tertua di Malaysia.