KUALA LUMPUR: Seorang kelindan lori pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas lima pertuduhan termasuk merusuh menggunakan senjata dan mencederakan jirannya. R. Rajentheran, 21, didakwa bersama-sama beberapa orang lagi yang masih bebas, merusuh dengan menggunakan parang, kayu dan besi terhadap jirannya, A. Murugiah, 67, di No 28, Blok J50 Rumah Panjang Jinjang Utara, Sentul di sini pada 1.30 pagi, 16 Mac lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya. Tertuduh turut didakwa mencederakan Murugiah dengan menggunakan parang pada waktu dan tempat yang sama mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya. Bagi pertuduhan ketiga, Rajentheran yang merupakan anak bongsu daripada tujuh orang adik beradik didakwa bersama empat orang yang telah dituduh, melakukan satu mudarat awam terhadap seorang lagi jirannya, S. Santhi Damai, 31, di No 34, Blok J23 Rumah Panjang Jinjang Utara, Sentul di sini pada 1 pagi, 14 Mei lalu. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM400. Rajentheran juga didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam akan mencederakan Santhi Damai pada waktu dan tempat yang sama. Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Bagi pertuduhan kelima, Rajentheran didakwa atas tuduhan gagal mengemukakan kad pengenalan diri di No 4 Blok J11, Kawasan A Rumah Panjang Jinjang Utara, Sentul di sini pada 4.20 petang, 30 Mei lepas. Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukhukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000. Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling tidak menawarkan sebarang jaminan kerana terdapat pertuduhan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh) yang tidak membenarkan jaminan. Bagaimanapun tertuduh memohon jaminan diberikan atas alasan perlu membawa ibunya membuat rawatan cuci darah tiga kali seminggu. Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tidak mendatangkan paksaan, ancaman atau janji yang menjejaskan mana-mana saksi daripada tampil memberi keterangan di Mahkamah. Ashraf Rezal menetapkan 4 Julai untuk sebutan.