suria

Mayat Lelaki Reput Di Pulau Tioman Dipercayai Warga Britain

PULAU TIOMAN: Pasukan mencari dan menyelamat warga Britain Gareth David Huntley, 34, yang hilang sejak seminggu lalu, menemui mayat seorang lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di belakang Chalet Lagoon, Kampung Juara, di sini kira-kira pukul 1.30 tengah hari Rabu. 

Mayat lelaki tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu ditemui dalam keadaan hanya berseluar pendek tanpa baju kira-kira 50 kilometer dari pantai.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Pahang Morni Mamat berkata idenditi mayat tersebut sukar dikenal pasti kerana selain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, sebahagian muka mangsa juga sudah dalam keadaan reput.

"Setakat ini kita belum dapat pastikan sama ada mayat yang ditemui itu adalah warga Britain yang dilaporkan hilang sebelum ini.

"Kita masih menunggu unit forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang yang dijangka tiba pukul 4 petang ini untuk membuat siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya yang ditemui di tempat kejadian enggan mengulas lanjut berhubung penemuan mayat tersebut.
Menurutnya, identiti mayat tersebut hanya boleh disahkan selepas Unit Forensik tiba untuk membuat pengesahan dan menjalankan siasatan lanjut berhubung
perkara itu.

Huntley, yang menjadi sukarelawan Projek Penyu Juara di Kampung Juara, Pulau Tioman dilaporkan pergi ke kawasan Air Terjun Lubuk Teja secara bersendirian kira-kira pukul 12 tengah hari Selasa lepas. 

Lelaki itu kemudian didapati tidak pulang sebelum rakan dan beberapa penduduk kampung keluar mencarinya di kawasan hutan berhampiran air terjun
berkenaan. 

Operasi mencari dan menyelamat dilakukan sejurus selepas kehilangannya dilaporkan pada Khamis lepas dengan melibatkan 154 orang anggota merangkumi
Polis Pahang, Polis Marin, Rela, Tentera Darat serta Bomba dan Penyelamat Pahang. 

Tujuh ekor anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9) IPK Pahang dan bomba turut digunakan dalam operasi berkenaan selain sebuah helikopter.

Artikel Lain