KUALA LUMPUR: Kawasan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang akan diperluas, tetapi kekal di Koridor Selatan, dengan menggunakan apa jua kepakaran yang ada, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. "Kalau tidak jumpa kotak hitam, kita kena cari lokasi baharu dan guna apa jua kepakaran yang ada untuk mengenal pasti lokasi berkenaan. Apa yang penting sekarang lokasi itu kekal di Koridor Selatan, itu yang tidak dipertikai dan tidak dinafikan oleh mana-mana pihak. "Malah ia telah disahkan oleh pakar-pakar seluruh dunia. Persoalannya di mana di Koridor Selatan. Ia besar, tapi di situlah kita akan memasuki fasa baharu," kata Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat berkaitan pencarian pesawat MH370 itu di sini pada Rabu. Hishammuddin diminta mengulas kenyataan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) bahawa kawasan pencarian pesawat MH370 di Lautan Hindi berdasarkan empat isyarat ping dipercayai daripada kotak hitam, diisytihar sebagai bukan kawasan pesawat itu hilang. JACC yang berpejabat di Australia menyatakan bahawa ia telah menyelesaikan pencariannya di Lautan Hindi di mana isyarat ping dikesan dan ia telah mengetepikan zon itu sebagai tempat bersemadinya pesawat MH370 itu, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal. Namun, JACC tetap yakin bahawa ia telah mengesan laluan pesawat MH370 yang memasuki perairan itu menerusi selatan Lautan Hindi yang panjang tetapi sempit. Ditanya mengenai dakwaan seorang pelayar British kononnya ternampak pesawat itu terbakar berdekatan Thailand pada pagi ia dilaporkan hilang, Hishammuddin berkata "terlalu banyak dakwaan yang kami terima, tapi tiada yang dapat dibuktikan. Ia perlu disahkan terlebih dahulu". Hishammuddin turut ditanya mengenai dua isyarat ping terbaharu dipercayai dari pesawat itu yang didakwa ditemui pihak berkuasa Australia. "Kami perlu berkumpul semula dan melihat apa-apa petunjuk lain yang ada. Jika ada maklumat berhubung lokasi dan petunjuk baharu, itu kami serahkan pada pakar-pakar dan menghantar aset di bawah Jawatankuasa Aset dan maklumkan kepada keluarga," katanya. Pencarian sebelum ini berdasarkan isyarat ping yang dikesan oleh kapal Ocean Shield namun tidak menemui apa-apa, katanya. Beliau menarik perhatian bahawa terdapat sekurang-kurangnya enam syarikat tempatan seperti Petronas, Boustead dan Deftech telah menyumbang dana, aset dan perkhidmatan dalam tender terbuka bagi pencarian pesawat itu. Mengulas hasil mesyuarat hari ini, Hishammuddin berkata ia lebih kepada proses persediaan kementerian yang terbabit dari segi keluarga, aset, pakar-pakar, media dan hubungan dengan negara luar jika pencarian pesawat MH370 mengambil masa yang lebih lama. Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Pada 24 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".