PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berkata, kerajaan perlu bersikap lebih telus mengenai perancangannya untuk memperkenalkan mekanisme baharu mengenai subsidi minyak. Setiausaha Agungnya, Datuk Paul Selva Raj berkata Fomca menyokong langkah untuk menyasarkan subsidi yang boleh membantu golongan berpendapatan rendah. "Subsidi tidak sepatutnya untuk semua. Namun, kerajaan boleh membentangkan apa saja supaya kita tahu apa yang sedang dibincangkan," katanya. Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad menyifatkan laporan mengenai sistem cadangan tersebut sebagai spekulasi. Orang ramai menyuarakan kebimbangan mengenai sistem yang dicadangkan untuk mengehadkan bantuan subsidi berdasarkan gaji dan kapasiti enjin kenderaan. Menerusi online, hanya beberapa individu yang menyokong cadangan tersebut manakala ramai pengguna di Internet menggesa kerajaan untuk mengkaji semula sistem tersebut yang membenarkan pemilik kenderaan dengan gaji kurang RM5,000 layak menikmati subsidi minyak. Mereka yang berpendapatan antara RM5,000 dan RM10,000, subsidi petrol RON95 dan diesel akan dihadkan kepada 300 liter setiap bulan. Di laman sosial Facebook, Marina Jaal berkata, sistem tersebut merupakan suatu penganiayaan. Beberapa pihak turut mendesak pemeriksaan ketat di pintu sempadan dan hukuman berat dikenakan kepada penyeludup. KL Ng mencadangkan warga asing dikenakan surcaj minyak sebanyak RM150 hingga RM300 setiap hari, bergantung dengan saiz/jenis enjin kenderaan, setiap kali mereka memasuki negara ini.