suria

Kerajaan Johor Belum Rancang Warta Bandar Raya JB Sebagai Warisan Negara

NUSAJAYA: Kerajaan negeri Johor belum mempunyai sebarang perancangan untuk mewartakan bandar raya Johor Baru sebagai warisan negara setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kesenian dan Kebudayaan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan berkata kerajaan Johor buat masa ini sedang menumpukan untuk mewartakan bangunan dan tapak warisan di seluruh negeri itu. 

"Kerajaan negeri, bagaimanapun, akan mengambil kira cadangan untuk mewartakan bandar raya ini sebagai warisan negara dan kajian akan dilakukan untuk mendapatkan kewajaran," katanya.

Beliau menjawab isu yang dibangkitkan Dr Boo Cheng Hau (DAP-Skudai) mengenai usaha mewartakan bandar raya Johor Baharu sebagai warisan negara pada penggulungan perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, Ahad.

Zulkurnain berkata pandangan pakar menerusi seminar juga boleh dilakukan untuk mengambil kira pengalaman bandar-bandar warisan di negara ini seperti Melaka dan Pulau Pinang. 

Beliau berkata Yayasan Warisan Johor setakat ini sudah menyenaraikan 170 tapak sejarah dan monumen di negeri itu dengan 22 daripadanya sudah diluluskan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diwartakan.

Zulkurnain berkata sehingga kini enam tapak, bangunan dan monumen sudah diwartakan di bawah Akta Benda Purba 1976 Perintah Monumen Lama dan Tapak Tanah Bersejarah 1981 manakala dua tapak pula diisytihar sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

"Enam tapak, bangunan dan monumen itu merangkumi Kota Batu Johor Lama di Kota Tinggi, Istana Besar dan Masjid Sultan Abu Bakar di Johor Baru, Pejabat Kerajaan Muar dan Sekolah Tinggi Muar serta Sekolah Tinggi Segamat. 

"Dua tapak warisan pula adalah Taman Negara Gunung Ledang dan Taman Negara Tanjung Piai yang diisytihar pada Mei 2012," katanya.

Sementara itu, menjawab isu yang dibangkitkan M. Asojan (BN-Gambir) mengenai teknologi wi-fi yang menjadi keperluan belia, Zulkurnain berkata kerajaan negeri sudah meluluskan 26 Pusat Komuniti Belia yang akan beroperasi sebelum hujung tahun ini dengan menyediakan kemudahan wi-fi kepada golongan berkenaan. 

Beliau berkata melalui inisiatif awal, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Johor juga akan menyediakan wi-fi percuma di Kompleks Belia dan Sukan di Larkin, di sini dan Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara di Desaru, Kota Tinggi, pada November depan.

"Untuk perancangan jangka panjang, kerajaan negeri sedang mengkaji keperluan wi-fi di kawasan riadah belia di kawasan luar bandar seperti di gelanggang badminton dan futsal, masjid atau surau terpilih di negeri ini," katanya. 

Artikel Lain