KUALA LUMPUR: Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) yang dilaksanakan sejak awal 2011 berjaya memanfaatkan 168,000 individu berpendapatan rendah. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat berkata, program berkenaan membantu membawa isi rumah berpendapatan rendah keluar dari paras kemiskinan menerusi beberapa kaedah termasuk pelajaran, keusahawanan, aktiviti pertanian dan perkhidmatan. "Kadar kemiskinan menyusut kepada 1.7 peratus pada 2012 berbanding lebih 60 peratus kira-kira enam dekad lepas, manakala kemiskinan tegar hampir disifarkan kesemuanya. "Perkembangan positif kadar kemskinan itu adalah hasil kejayaan program transformasi kerajaan yang dilaksanakan," katanya menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang ingin tahu tahap pencapaian program transformasi kerajaan, ekonomi dan politik sehingga kini di persidangan Dewan Rakyat di sini. Program 1Azam dibahagikan kepada enam inisiatif terdiri daripada AZAM Tani yang memberi tumpuan terhadap pertanian dan aktiviti berasaskan pertanian, AZAM Niaga (perniagaan kecil), AZAM Kerja (penyesuaian kerja/penempatan kerja), AZAM Khidmat (perkhidmatan, bekerja sendiri); dan 1AZAM Sabah dan 1AZAM Sarawak yang meliputi semua inisiatif itu. Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang), Razali berkata untuk melaksanakan program transformasi kerajaan bukan satu perkara yang mudah dan memerlukan kerjasama semua pihak untuk memastikan segala program berjalan lancar dan diterima rakyat. "Kita sentiasa ambil cabaran itu sebagai satu peluang dan harap semua dapat bantu dalam usaha beri penjelasan sebenarnya. "Kadang kala berlaku juga rakyat terkeliru, ini hakikat yang berlaku, ada banyak perkara baik yang dilaksana kerajaan tetap dikelirukan oleh mana-mana pihak, yang ini tidak akan membantu," katanya. Siti Zailah ingin tahu bagaimana langkah kerajaan untuk menangani krisis yang masih membelenggu rakyat termasuk kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barang.