suria

'Penderma Misteri' Di Sebalik Pakej Umrah Murah

Kumpulan jemaah yang terkandas di Madinah selepas agensi yang menawarkan pakej murah tidak membeli tiket penerbangan balik ke tanahair.
PETALING JAYA: 'Penderma misteri' didakwa berselindung di sebalik agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah murah hingga mengakibatkan sekumpulan 121 jemaahnya terkandas ketika mengerjakan ibadat itu, baru-baru ini.

Agensi berkenaan yang menawarkan pakej umrah pada harga serendah RM3,700 dikatakan menerima pembiayaan daripada penderma yang sehingga kini tidak diketahui identitinya.

Sumber yang rapat dengan agensi berkenaan berkata, pihak atasan dan wakil agensi berkenaan sering memberitahu bakal jemaah bahawa ada penderma yang bermurah hati membiayai sebahagian perbelanjaan mereka untuk mengerjakan umrah.

Beliau mendakwa, atas sebab itulah pakej yang ditawarkan agensi pelancongan yang berpusat di Perak itu lebih murah berbanding agensi lain.

"Apabila bakal jemaah curiga dengan pakej murah yang ditawarkan kerana bimbang ditipu, wakil agensi berkenaan akan menggunakan nama penderma yang bermurah hati untuk meyakinkan mereka. Ia satu jawapan yang 'boleh diterima'.

"Tetapi sehingga kini tiada siapa yang dapat tahu identiti penderma berkenaan dan tiada siapa dapat membuktikan ia wujud atau sebaliknya," katanya kepada mStar Online.

Minggu lalu, sejumlah 121 jemaah Malaysia terkandas di Madinah selepas tujuh hari menunaikan umrah dibawa pulang setelah Pengerusi Biro Kebajikan Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang juga Pengerusi Tabung Haji mengadakan rundingan dengan Konsulat Jeneral di Mekah.

Siasatan awal mendapati agensi yang membawa jemaah berkenaan dengan menawarkan pakej umrah berharga RM3,999 hanya membeli tiket penerbangan pergi tanpa menempah tiket penerbangan pulang.

Menurut sumber itu lagi, setiap kali memaklumkan penderma misteri antara sebab pakej ditawarkan murah, kebanyakan bakal jemaah berpuas hati dan tidak akan bertanya lebih lanjut.

Katanya, kepercayaan wujud kerana rekod cemerlang yang ditunjukkan agensi terbabit dalam mengendalikan kira-kira 12,000 jemaah sejak beroperasi akhir 2012.

Difahamkan, lebih membuatkan orang ramai tertarik dengan pakej ini apabila kemudahan yang diberikan seperti hotel, penerbangan dan makanan adalah setaraf, malah lebih baik berbanding pakej umrah lain yang lebih mahal.

Sumber juga tidak menolak kemungkinan penderma misteri itu enggan menonjolkan diri atau identitinya hanya rekaan semata-mata.

"Mungkin juga agensi menggunakan 'sistem kutu' dalam menjalankan perniagaannya," katanya membuat andaian berdasarkan pemerhatian.

Mengenai jemaah di bawah agensi berkenaan yang terkandas, beliau berkata, kes itu pertama kali berlaku dan ia mungkin ada kaitan dengan masalah visa.

Seorang jemaah yang pernah mengerjakan umrah di bawah agensi sama juga mengaku pernah dimaklumkan pihak atasan agensi berkenaan mengenai penderma misteri itu.

"Seseorang yang saya panggil ustaz beritahu saya terdapat saudagar kaya dari Arab Saudi bermurah hati membiayai sebahagian perbelanjaan jemaah di bawah agensi ini untuk menunaikan umrah.

"Saya teruja dan tidak fikir apa-apa yang tidak baik kerana rakan saya sudah ambil pakej ini dan mereka gembira. Saya juga puas hati selepas terbang ke Mekah dengan pakej ini sebab ia murah tetapi kemudahannya setaraf pakej umrah yang mahal," katanya.

Sementara itu, agensi pelancongan berkenaan gagal dihubungi untuk mendapatkan komen dan penjelasan daripada wakilnya.

Namun, difahamkan ibu pejabatnya masih dibuka dan beroperasi seperti biasa serta masih membuka tawaran untuk pakej umrah.


umrah, penderma misteri, agensi, pakej

Artikel Lain