KUALA LUMPUR: Ops Cantas Khas membabitkan kes jenayah samun dan ragut bakal dilaksanakan di sekitar ibu negara, mulai Ramadan ini. Kawasan yang dikenal pasti sebagai titik panas kegiatan jenayah samun dan ragut iaitu Bukit Bintang, Pasar Seni dan Kota Raya akan menjadi tumpuan operasi itu. Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Deputi Supritendan M. Gunalan berkata, akhir Julai ditetapkan untuk meneruskan operasi itu kerana menjangka sekitar ibu kota akan dikunjungi ramai untuk persiapan menjelang Aidilfitri dan berbuka puasa. "Sepanjang Ramadan ibu negara sentiasa sibuk dengan orang ramai melakukan pelbagai aktiviti persiapan menjelang hari raya. Gunalan berkata, langkah meneruskan operasi itu juga berikutan kejayaan pihaknya menahan 38 individu termasuk tiga wanita yang disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan jenayah di sekitar ibu negara. Beliau berkata, semua 38 penjenayah yang ditahan pada Mei itu terbabit dalam kes pecah rumah, curi motosikal dan memiliki senjata api palsu. "Mereka ditangkap atas maklumat risikan dan dengan penahanan ini, kami yakin dapat menyelesaikan beberapa kes di sekitar Lembah Klang," katanya. Selain itu, Gunalan berkata, pihaknya menahan 92 lelaki di sekitar ibu kota kerana memiliki senjata berbahaya di tempat awam dipercayai untuk tujuan samun dan ragut sepanjang lima bulan lalu. "Jumlah itu dianggap tangkapan yang tinggi dalam tempoh lima bulan pertama bagi kes memiliki senjata berbahaya di tempat awam. "Kita percaya motif mereka membawa senjata di tempat awam adalah untu melakukan jenayah samun, ragut, selain untuk pergaduhan. "Apa sahaja senjata tajam walaupun hanya pisau lipat ia tetap menjadi satu kesalahan," jelasnya. Jika didapati bersalah, orang awam boleh dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 6 (1) dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958.