Laporan maklum balas itu diserahkan Naib Ketuanya Datuk Khairul Anwar Rahmat kepada Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-13, Isnin.
Khairul Anwar yang ditemui pemberita berkata laporan maklum balas berkenaan dikumpul selama tiga hari hasil daripada dialog dan perkongsian pendapat pelbagai pihak termasuk media, pimpinan politik, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan suara hati rakyat.
Beliau berkata perjumpaan dengan ketua-ketua Pemuda Umno bahagian di negeri ini turut dilakukan bagi mengambil kira pendapat mereka.
Menurutnya, dalam pertemuan singkat pada Isnin, Mohamed Khaled menyambut baik maklum balas berkenaan dan akan memastikan ia diteliti sebaiknya.
Khairul Anwar berkata Pergerakan Pemuda Umno Johor pula berharap lembaga yang bakal diwujudkan kelak dapat berfungsi sebaiknya dan memberi faedah kepada semua pihak terutama rakyat di negeri ini.
Kerajaan negeri Johor pada Isnin dijadual membentangkan rang undang-undang untuk menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor itu.
Hasrat kerajaan negeri itu sebelum ini menimbulkan tanda tanya dan mendapat pelbagai reaksi termasuk tentangan sesetengah pihak kerana jika rang undang-undang itu diluluskan dikatakan akan menyaksikan pembabitan Sultan dalam pentadbiran kerajaan negeri.