suria

Najib Tiba Di Turkmenistan Untuk Lawatan Rasmi Dua Hari

Najib (kiri), diiringi oleh Timbalan Menteri Minyak dan Gas Turkminestan, Knodjo Muhammedow Baymurad (kanan) yang menjadi menteri pengiring, tiba di lapangan terbang Ashgabat sempena lawatan rasmi dua hari ke Ashgabat, Turkminestan di Ashgabat, Isnin. Foto BERNAMA

ASHGABAT (Turkmenistan): Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini Isnin malam untuk melakukan lawatan rasmi dua hari bagi memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala yang sedia akrab antara Malaysia dan Turkmenistan.

Pesawat khas yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat pada 6.45 malam (9.45 malam waktu Malaysia).

Ketibaan mereka disambut Naib Perdana Menteri bagi Minyak dan Gas Turkmenistan Khodjomuhommedow Bajmurad, yang juga Menteri Pengiring, Ketua Protokol Negara Mohamed-durdyew Serdar, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan isteri Datin Seri Rubiah Abdul Samad serta Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan Norman Muhamad dan isteri Kamsiah Kamaruddin.

Seorang kanak-kanak perempuan Turkmenistan, Jennet, 11, menyerahkan sejambak bunga kepada Rosmah diikuti seorang kanak-kanak lelaki bernama Dowlet, 11, yang menyerahkan roti atau 'chorek' kepada Najib dan Rosmah sebagai tanda mengalu-alukan kunjungan mereka ke negara Asia Tengah ini.

Najib dan Rosmah menjamah sedikit roti itu.

Lawatan Najib ke Turkmenistan atas jemputan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov. Lawatan pertama beliau ialah dari 11 hingga 12 Julai 2011.

Sebaik tiba di hotel penginapan mereka, Hotel Yyldyz di sini, Najib dan Rosmah disambut Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan isteri Datin Seri Rubiah Abdul Samad, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan Norman Muhamad dan isteri Kamsiah Kamaruddin, anggota delegasi Malaysia dan pegawai dari kedutaan serta Petronas.

Selepas majlis sambutan rasmi di Istana Presiden pada Selasa, Najib dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan Berdimuhamedov disusuli mesyuarat delegasi antara Malaysia dan Turkmenistan.

Selepas itu, mereka akan menyaksikan pemeteraian lima dokumen termasuk memorandum persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama pendidikan dan MoU berkaitan kerjasama jangka panjang antara Petronas dan State Agency in Charge of Hydrocarbon.

Menurut Wisma Putra, lawatan itu menggambarkan inisiatif berterusan Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dua hala sedia ada yang terjalin erat dengan Turkmenistan.

Turkmenistan, Najib Tun Razak

Artikel Lain