Tinjauan Bernama mendapati kesemua jemaah umrah berkenaan yang tiba pada 6.10 petang, gembira dan lega kerana selamat tiba di tanah air.
Yanti Saliza Ibrahim, 34, pegawai di sebuah bank berkata beliau pergi menunaikan umrah bersama empat anggota keluarga termasuk ibu mertuanya sejak 21 Mei lepas.
"Saya mengikuti pakej umrah ini melalui Koperasi Proton, syarikat adik saya bekerja..saya difahamkan, agensi umrah ini telah berurusan dengan koperasi sejak tahun lepas.
Bagi Seripah Tahar, 57, yang berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang berkata beliau tidak berpuas hati dengan pengurusan agensi umrah itu.
Seripah mendakwa sejak hari pertama dia menunaikan umrah pada 21 Mei lepas, tiada seorang pun mutawif yang kelihatan daripada agensi umrah terbabit yang menyertai rombongan mereka.
Katanya beliau membawa kaum keluarganya termasuk anak dan menantunya mengikuti umrah itu kerana harganya yang murah.
Sementara itu, Mohd Nor Akmal Omar, 50, berkata beliau berterima kasih dengan Biro Kebajikan Umno kerana menguruskan kepulangan beliau dan rombongan umrahnya yang terkandas sejak 2 Jun lepas.
"Kami rasa terhutang budi kepada Ustaz Muiz daripada Kedutaan Malaysia di Makkah yang banyak membantu menguruskan keperluan kami sejak kami terkandas serta memberitahu perkembangan semasa mengenai perkara ini," katanya yang bekerja sebagai penyelia Proton.
Pesara kerajaan, Abdul Ramis Abdul Rahim, 60, berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang pula berkata biarlah pihak berwajib sahaja yang mengambil tindakan ke atas agensi umrah berkenaan.
"Bukan urusan kami untuk ambil tindakan, biarlah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sahaja yang uruskan," katanya yang mengerjakan umrah bersama empat anggota keluarganya.