Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pindaan dilakukan selepas pihak berkuasa negeri mengambil kira tohmahan dan reaksi pelbagai pihak selain mahu memelihara sistem Raja Perlembagaan yang diamalkan selama ini.
"Ada fasal yang akan dipinda dengan dinyatakan secara khusus peranan raja adalah atas nasihat Menteri Besar terutama dari segi pelantikan ahli lembaga pengarah lembaga tersebut.
"Yang paling penting, lain-lain fasal ditiadakan. Hanya itu sahaja yang menyentuh peranan raja. Lain-lain semua digantikan dengan Pihak Berkuasa Negeri," katanya pada penggulungan perbahasan persidangan DUN di sini, Ahad.
Beliau berkata amat menghairankan rang undang-undang yang akan dibentangkan itu mendapat kritikan kononnya raja akan diberi kuasa mutlak dengan raja akan mengurus perjalanan lembaga atau mempunyai kuasa eksekutif sedangkan semua peruntukan dalam rang tersebut juga adalah sama dengan rang penubuhan Johor Corporation (JCorp) sebelum ini.
Mohamed Khaled menegaskan fasal-fasal di dalam enakmen itu kelak juga tidak akan melanggar prinsip Raja Berpelembagaan kerana ia dibaca bersama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menyatakan tindakan yang dilaksanakan oleh raja adalah atas nasihat Menteri Besar.
"Sekiranya enakmen Johor dianggap bertentangan dengan Perlembagaan, maka semua akta di peringkat persekutuan juga bertentangan.
"Jadi kita harap pindaan itu nanti tidak akan menimbulkan lagi apa-apa masalah kerana apa yang kerajaan negeri usahakan adalah demi rakyat," katanya.
Kerajaan negeri sebelum ini dilapor akan membentangkan rang undang-undang untuk menubuhkan lembaga berkenaan esok yang jika diluluskan, akan menyaksikan pembabitan sultan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Hasrat kerajaan negeri itu menimbulkan tanda tanya dan mendapat pelbagai reaksi termasuk tentangan sesetengah pihak.