KUALA LUMPUR: Seorang penjaga tokong pada Isnin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia melihat tertuduh yang didakwa membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi, menembak Hussain berkali-kali sehingga mangsa rebah. Lim Sok Yee, 37, berkata sebelum itu, dia juga melihat tertuduh, Koong Swee Kwan, 45, menembak isteri Hussain, Cheong Mei Kuen, 49. "Ketika itu, Hussain dan isterinya sedang menuju ke tempat letak kereta, sebelum tertuduh berlari mengejar mereka dari belakang dan menembak isteri Hussain terlebih dahulu sehingga jatuh. "Bila isterinya jatuh, Hussain berpusing ke belakang dan dia terus ditembak dari belakang. Bila Hussain jatuh, saya nampak dia (tertuduh) buat sesuatu pada pistolnya, kemudian dia lepaskan beberapa das lagi tembakan," katanya, yang mendengar sebanyak lima das tembakan. Lim berkata demikian semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan hari pertama, kes terhadap Koong yang didakwa membunuh Hussain di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin, No.4 Lorong Ceylon, di sini, 29 Julai tahun lepas. Terdahulu, Lim yang juga saksi pendakwa keempat, memberitahu mahkamah bahawa Hussain dan isterinya datang ke tokong itu untuk berbincang dengan seorang individu yang dikenali sebagai Datuk Richard Morrais bagi urusan perjanjian hartanah. Lim berkata dalam perbincangan yang turut dihadiri kakak dan dirinya, Richard ada meminta pihak tokong memberi RM300,000 kepada dua individu lain yang dikenali Lim Sok Ling dan Lim Soh Cheng, tetapi Hussain membantah kerana wang itu adalah wang tokong. "Hussain hanya datang (ke tokong pada hari itu) untuk menyelesaikan masalah," katanya, yang turut memaklumkan mahkamah, perbincangan bermula 1.05 tengah hari dan berakhir 30 minit kemudian. Lim berkata semasa perbincangan itu, dia melihat seorang individu mundar-mandir di perkarangan tempat letak kereta. "Saya melihat seorang lelaki memakai kemeja berkotak, berseluar panjang, bertopi serta memakai cermin mata. Dia berulang-alik dan asyik memandang ke dalam tokong. "Saya rasa sangat pelik kenapa orang itu intai begitu lama," katanya. Menjawab soalan Wan Shaharuddin, sama ada lelaki yang mundar-mandir di tempat letak kereta itu adalah lelaki sama yang menembak Hussain, Lim menjawab 'ya'. Sementara itu, saksi kedua, Pakar Perubatan Forensik Dr Nurul Kharmila Abdullah, 36, memberitahu mahkamah bahawa punca kematian Hussain adalah disebabkan luka tembakan berganda di bahagian dada. Dr Nurul Kharmila, daripada Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur, berkata hasil itu diperoleh daripada laporan bedah siasat yang dijalankannya terhadap mangsa pada 30 Julai 2013. Katanya, daripada pemeriksaan luaran yang dilakukan terhadap mangsa, beliau mendapati terdapat tiga kesan tembakan yang masuk dari arah belakang badan mangsa dan empat tembakan masuk dari arah depan. "Pemeriksaan dalaman mendapati organ dalaman yang tercedera adalah jantung dan saluran darah utama (Aorta). Luka tembus dan keluar (tembakan) ini menyebabkan kecederaan parah pada jantung," katanya, yang turut memaklumkan kecederaan pada Aorta mempercepatkan proses kematian mangsa. Ketika ditanya Wan Shaharuddin sama ada terdapat kemungkinan mangsa dapat diselamatkan, saksi berkata dalam kes itu, kemungkinan mangsa dapat diselamatkan adalah sangat tipis kerana kecederaan pada jantung sangat serius. "Walaupun mangsa sempat dibawa ke dewan bedah sekalipun, ia amat sukar untuk diselamatkan kerana jantung yang cedera itu hampir pecah," katanya. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Azman Husin bersambung pada Selasa.