suria

Pesara Dilantik Pegawai Kontrak Tidak Jejas Kenaikkan

KUALA LUMPUR: Pelantikan semula pesara kerajaan sebagai pegawai kontrak perkhidmatan awam persekutuan dan badan berkanun tidak akan menjejaskan kenaikan pangkat penjawat awam dalam sektor itu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata setakat ini hanya 36 pesara diluluskan untuk dilantik secara kontrak dalam pelbagai kementerian, jabatan dan agensi awam manakala 704 pensyarah dan 232 pegawai dilantik di peringkat badan berkanun yang melibatkan universiti.

"Oleh kerana pegawai kontrak yang dilantik itu tidak ramai, 36 orang sahaja berdasarkan bidang masing-masing maka ia tidak menjejaskan pegawai-pegawai lain.

"Ini (36 pegawai kontrak) juga adalah semuanya jawatan tertinggi di peringkat Jusa C dan ke atas. Jadi tidak ada kesan kepada pengisian jawatan yang ada sekarang," katanya ketika menjawab soalan Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, Selasa.

Che Rosli ingin tahu jumlah pegawai kerajaan yang sepatutnya sudah pencen tetapi masih memegang jawatan mereka sama ada dalam pentadbiran awam dan institusi pendidikan.

Shahidan berkata pelantikan pegawai kontrak dalam kalangan pesara kerajaan juga adalah menguntungkan berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki golongan itu.

"Adalah menguntungkan kerana ia mampu memenuhi keperluan perkhidmatan, meneruskan kesinambungan kepakaran yang dimiliki serta mencurahkan ilmu pengetahuan kepada pegawai pelapis baharu," katanya.

Beliau turut menjelaskan pelantikan pegawai kontrak itu tidak dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya perlu memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan termasuk pengalaman, prestasi cemerlang semasa berkhidmat serta memiliki kesihatan yang baik dan diperakui oleh pengamal perubatan berdaftar.


Dewan Rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain