GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan bahawa Teoh Cheng Cheng yang didakwa sebagai mualaf bukan beragama Islam ketika wanita itu meninggal dunia. Hakim Zaim Md Yudin dalam penghakimannya pada Khamis memerintahkan pihak yang pada masa ini menyimpan mayat Teoh supaya menyerahkannya kepada keluarga mendiang. Hakim turut memerintahkan supaya pihak polis membantu dalam perkara itu. Beliau turut membenarkan keluarga Teoh untuk menuntut mayatnya dan melakukan upacara pengebumian mengikut kepercayaan keagamaan mereka. Teoh, 38, ibu kepada empat anak, meninggal dunia di apartmentnya di Jalan Macallum pada Sabtu lalu. Pada Isnin, upacara pengebumian Teoh dikejutkan dengan kehadiran para pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) di sebuah apartment di Jalan Macallum untuk "menuntut" mayat berkenaan. Teoh didakwa memeluk agama Islam 17 tahun lalu, yang mempunyai nama Islam, Nora Teoh Abdullah.